PADANG BESAR, 28 Nov — Perlis sesuai dijadikan sebagai lokasi permulaan bagi veteran anggota keselamatan yang ingin menceburi bidang perniagaan pelancongan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata kebanyakan veteran tentera dan polis mempunyai kemahiran dalam bidang kejurulatihan seperti latihan payung terjun, menyelam atau mendaki bukit dan Perlis memiliki banyak lokasi yang sesuai untuk tujuan itu.

“Kemahiran yang dimiliki oleh veteran ini boleh dikomersialkan dengan menganjurkan kursus seperti mendaki bukit di tempat pelancongan menarik di Perlis.

“Ia juga dapat membantu kerajaan negeri mempromosi tempat pelancongan menarik di negeri ini,” kata Ahli Parlimen Padang Besar itu kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pemimpin bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pelancaran kutipan Tabung Pahlawan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) di Dataran rekreasi Tasik Timah Tasoh, dekat sini.

Sementara itu, Zahidi berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mengadakan program makanan murah kepada golongan veteran.

“Kita boleh import sendiri sebagai contoh beras, gula dan bantu mereka mengurangkan kos sara hidup dan ini memerlukan sokongan kerajaan semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here