KUALA LUMPUR, 29 Nov — Cadangan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai ketua-ketua parti Perikatan Nasional (PN) serta seruan agar semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar menzahirkan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang inklusif dan terbuka. 

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia demi mewujudkan kerajaan kukuh dan stabil yang dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat, lebih-lebih lagi tatkala negara sedang memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan COVID-19 dan pemulihan ekonomi. 

“Seperti dinyatakan semalam, beliau (Muhyiddin) sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melihat bagaimana BN dan PN dapat meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan kumpulan dan parti politik.

“Yang penting semua parti politik yang mendukung dasar kerajaan dapat bersama dalam satu gabungan yang lebih teratur dan berstruktur dalam mencapai perpaduan utuh demi rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan barang keperluan asas bagi program Gombak Food Bank di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

Semalam Muhyiddin dalam ucapannya dasarnya sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu berkata adalah baik jika semua pemimpin Melayu dan Islam di negara ini dapat bersatu dalam sebuah jemaah yang besar, berbanding berpecah-belah dalam kabilah-kabilah kecil sekali gus dapat mewujudkan kestabilan politik di Malaysia.

Muhyiddin turut menyatakan bahawa krisis politik yang berlaku pada awal tahun ini telah mempertautkan pimpinan politik Melayu dalam Bersatu, Umno serta PAS dalam satu saf politik yang sama, dan pertautan itu adalah satu langkah awal untuk mewujudkan penyatuan ummah yang lebih besar.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Bersatu dan PN merupakan wadah perjuangan yang mempunyai matlamat jelas dan ia dibuktikan melalui penerimaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. 

“Kita lihat dalam tempoh singkat  rakyat yakin dengan masa depan Bersatu dan terbukti di Sabah yang mana rakyat mendukung Bersatu dan PN, kita melihat ia satu perkembangan positif,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here