KUALA LUMPUR, 28 Nov  — Meskipun pengumuman perjanjian pembelian vaksin COVID-19 oleh kerajaan Malaysia semalam adalah satu perkembangan yang mendapat pujian pelbagai pihak, sebuah badan pemikir percaya Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan (KKM) harus dikaji semula terutama yang berkaitan dengan keperluan logistik dan penyimpanan vaksin itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata vaksin COVID-19 memerlukan suhu penyimpanan ultra sejuk negatif 70 darjah Celsius, yang kapasitinya melebihi kebanyakan kemudahan penjagaan kesihatan utama sedia ada di dalam negara.

Justeru itu, beliau berkata ia bergantung kepada ketersediaan unit penyimpanan di peringkat negeri bagi memastikan rantaian suhu sejuk yang diperlukan vaksin adalah tidak terjejas.

“Kita perlu memastikan bahawa KKM mendapat dana dan tenaga kerja yang diperlukan bagi melaksanakan tugasan apabila vaksin itu boleh didapati pada 2021, terutama apabila vaksin ini mempunyai keperluan logistik dan penyimpanan khusus yang memerlukan pelaburan dari segi infrastruktur serta latihan.

“Adakah kita akan membeli kotak ais khas Pfizer? Sudahkah kita memperuntukkan dana bagi sistem penyimpanan rekod yang akan diperlukan? Kami tidak yakin peruntukan sedia ada mencukupi bagi tujuan ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 Nov lepas, kerajaan Malaysia, melalui KKM, telah memeterai satu perjanjian awal pembelian dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk mendapatkan sejumlah 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata melalui perjanjian itu, Pfizer telah berjanji untuk memberikan sebanyak sejuta dos, 1.7 juta dos, 5.8 juta dos dan 4.3 juta dos vaksin COVID-19 masing-masing dalam suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat 2021.

Selain itu, Azrul menjangkakan cabaran dalam proses penghantaran vaksin COVID-19 ke kawasan luar bandar susulan kebimbangan dari segi keterbatasan dan pragmatik.

Beliau berkata pengagihan vaksin dalam poten yang dinyatakan pengilang ke lokasi sebenar pemvaksinan dalam masyarakat boleh menjadi amat mencabar terutama apabila ia membabitkan vaksin jenis mRNA).

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melabur dalam komunikasi vaksin bagi menangani dan mengatasi penyebaran maklumat salah yang berleluasa ketika ini berkaitan COVID-19 dan vaksin secara umum.

“Dekad terakhir ini telah menyaksikan peningkatan ketara dalam keraguan terhadap vaksin. Ia (komunikasi vaksin) tidak boleh bergantung kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat daripada sektor swasta semata-mata bagi tujuan itu,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here