Home Berita MCI Tanah runtuh di Bukit Fraser amaran mungkin berlaku bencana, kata aktivis

Tanah runtuh di Bukit Fraser amaran mungkin berlaku bencana, kata aktivis

PETALING JAYA, 6 Jan: Aktiviti pembangunan berlebihan memberi kesan buruk kepada Bukit Fraser, dengan lebih 30 tanah runtuh dilaporkan di situ susulan hujan lebat pada Ahad lalu.

Tanah runtuh terburuk menyaksikan 13 kenderaan terperangkap di sepanjang jalan Raub-Bukit Fraser pada petang.

Sebuah NGO kini memberi amaran terhadap pembangunan berlebihan, dengan berkata keadaan tanah tinggi itu tidak baik.

Persatuan Alam & Warisan Bukit Fraser, sebuah kumpulan menyasarkan untuk melindungi tempat peranginan itu, mempersoalkan kerajaan Pahang sama ada ia akan meneruskan pembinaan sebuah resort spa 14 tingkat di situ, susulan tanah runtuh itu.

Pengerusinya, Nik Jassmin Hew berkata, tanah runtuh biasa terjadi di Bukit Fraser kerana keadaan tanah di sana.

Namun, katanya, tempat peranginan itu menyaksikan lebih banyak kejadian tanah runtuh daripada biasa sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun berita utama pada Ahad lalu hanya tertumpu kepada dua tanah runtuh di sepanjang jalan Raub-Bukit Fraser pada petang, beliau memberitahu FMT, kira-kira 30 tanah runtuh lain berlaku di lokasi terbabit.

“Walaupun ada yang tidak dapat naik atau turun dari Bukit Fraser, ada pengunjung lain di atas bukit tidak dapat pulang ke rumah. Beberapa tanah runtuh baru dikenal pasti semalam. Malah, seorang pak cik terperangkap di rumahnya.

“Syukur tiada yang terkorban. Tetapi, ia seolah-olah amaran besar untuk menunjukkan ini keadaannya.”

Nik Jassmin berkata, kajian menunjukkan tanah di Bukit Fraser lebih longgar dan sensitif, menjadikannya lebih terdedah kepada hakisan dan tanah runtuh.

“Sebarang bentuk pembangunan di bukit seperti Fraser perlu dibuat dengan teliti dan berhati-hati.”

Katanya, faktor lain yang boleh menyebabkan lebih banyak tanah runtuh ialah bukit “cedera” – bukit yang pernah mengalami tanah runtuh – tidak dibaiki untuk menghalang hakisan lebih besar. Bukit juga boleh rosak akibat pokok tumbang atau kemalangan kenderaan.

Beliau berkata, sistem saliran adalah isu lain dan ia tidak diselenggara dengan baik dahulu serta saliran air mula tersumbat dari puncak bukit hingga ke bawah.

“Kami ada orang yang menjaga saliran air untuk memastikan ia tidak tersumbat. Tetapi kini, saliran air tidak dapat dibersihkan.

“Jika saliran air tersumbat, kita perlu melihat ke mana air itu mengalir. Sekiranya ia mengalir ke jalan, ia akan menghakis sesuatu di jalan. Kita perlu memastikan sistem perparitan adalah baik dan bukit ini diselenggara dengan baik,” katanya.

Pada Julai 2020, dua bangunan warisan – Maybank Lodge dan Resort Jelai – dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan resort spa 14 tingkat dengan 181 bilik.

Walaupun pembinaan belum dapat dimulakan akibat arahan berhenti kerja yang dikeluarkan sebulan selepas ia dirobohkan, Nik Jassmin berkata, ia hanya untuk membuat pengubahsuaian pada estetik resort itu dan bukan mengecilkannya.

“Walaupun anda belum memulakan pembinaan, bencana sudah melanda. Lihat di sekeliling anda, tempat itu tidak sesuai. Inilah yang boleh berlaku ketika hujan lebat. Jadi, persoalan kami sekarang: adakah mereka akan meneruskan projek ini?

“Kami mahu melihat hotel baru di Bukit Fraser, tetapi saiznya mesti betul. Mungkin apa saja tempat penginapan yang tidak digunakan sekarang boleh diperbaharui dan digunakan semula.”

Beliau merayu Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Pahang, datang melihat sendiri keadaan tanah tinggi itu dan campur tangan dalam pembangunan itu.

Katanya, campur tangan Agong ialah pilihan terbaik kerana Kementerian Pelancongan serta Jabatan Alam Sekitar tidak mempunyai kata putus terhadap pembangunan itu, dengan perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kami tidak pasti jika Yang di-Pertuan Agong mengetahui perkara ini, tetapi kami mahu baginda melihat keadaan di sana dan bagaimana (projek 14 tingkat itu) bukan satu idea baik.”

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version