KUALA LUMPUR, 17 Jan — Biarpun rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang   berdegil  apabila jumlah mereka ditahan kerana kesalahan itu meningkat kepada 66 individu semalam daripada  32 orang dua hari lepas.

Memasuki hari kelima PKP, kesalahan itu menjadi antara kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP tertinggi dilaporkan selepas tidak memakai pelitup muka yang merekodkan seramai 200 individu, manakala gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah 608 individu yang ditahan kerana ingkar PKP semalam, seramai 580 dikompaun, 27 direman dan satu dijamin.

“Selain itu, individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan mengumumkan larangan merentas negeri di seluruh negara bermula Rabu lepas sepanjang pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mengikut negeri sehingga 26 Jan ini. 

Ismail Sabri turut memaklumkan menerusi Op Benteng, seramai 17 pendatang asing dan dua tekong berjaya ditahan manakala tujuh kenderaan dirampas semalam, selain 415 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata seramai 105,849 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu, 8,541 sedang menjalani kuarantin wajib manakala 540 dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mengenai barang keperluan asas, beliau berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 811 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan, semalam.

Secara keseluruhan, beliau berkata bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,166 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan. Daripada jumlah itu, 1,161 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala lima premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here