KUCHING, 29 Jan — Hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenar menyertai upacara pengebumian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Douglas Uggah Embas berkata mereka juga wajib memaklumkan mengenai pengebumian tersebut kepada pejabat daerah dan polis bagi tujuan kawalan awam.

“Garis panduan untuk upacara pengebumian boleh didapati daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR),” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata semua jenis aktiviti sosial dan perhimpunan tidak dibenarkan sama sekali semasa tempoh PKP dan PKPB termasuk majlis perkahwinan, kenduri, majlis pertunangan, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun dan sambutan hari kelahiran.

PKP dilaksanakan di Sibu manakala kawasan lain di Sarawak dikenakan PKPB sehingga 14 Feb ini.

Sebanyak 179 kes positif COVID-19 dicatat di Sarawak hari ini, menjadikan keseluruhan kes positif virus itu berjumlah 4,124 kes, manakala 36 kematian direkodkan setakat ini.

Uggah berkata JPBN telah mewujudkan program komuniti kepolisan dalam usaha memerangi dan membendung penularan COVID-19 khususnya di kawasan kampung dan rumah panjang.

Program yang melibatkan antaranya ketua masyarakat, ketua kaum, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), veteran tentera dan pesara polis itu bertujuan memberi kesedaran dan membuat publisiti mengenai bahaya COVID-19 serta meningkatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard, katanya.

 — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here