KUALA LUMPUR, 19 Feb — Jabatan  Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan pelaksanaan aktiviti mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah-wilayah Persekutuan bermula hari ini.

Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata aktiviti tazkirah dan zikir munajat dibenarkan selepas solat Maghrib hingga waktu Isyak secara berselang-seli dengan terhad kepada 50 peratus kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Beliau berkata selain kebenaran mengadakan kuliah Subuh tidak melebihi 30 minit, masjid, surau Jumaat dan surau turut dibenarkan mengadakan solat hajat, bacaan Yaasin, doa munajat dan tahlil pada setiap malam Jumaat.

“Solat hajat selepas Maghrib pada setiap malam dan selepas solat Jumaat turut dibenarkan.

“Majlis akad nikah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 30 orang tertakluk kepada keluasan dewan solat utama masjid dengan penjarakan fizikal 1.5 meter termasuk jurunikah, saksi dan jurufoto,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ajib berkata kebenaran aktiviti mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau di kawasan PKPB Wilayah-wilayah Persekutuan adalah perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula, Mohd Ajib berkata semua masjid, surau Jumaat dan surau masih tertakluk dengan ketetapan sebelum ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP diteruskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga 4 Mac manakala status Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labun bertukar daripada PKP kepada PKPB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here