PUTRAJAYA, 18 April — Kerajaan sentiasa berpendirian untuk mempertahankan kebebasan media termasuk di media sosial, namun ia tidak harus disalahgunakan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Merujuk kepada iklan mempromosikan judi bertemakan Aidilfitri, Saifuddin berkata walaupun kerajaan mengamalkan kebebasan media, namun kerajaan juga bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat perkara yang melangkaui batas termasuk tindakan undang-undang.

“Kita tahu dalam kehidupan masyarakat digital ini, hampir mustahil untuk mengawal semua perkara. Jadi kita faham kedudukan, kehidupan masyarakat digital ini. Kerajaan tetap mempertahankan kebebasan media termasuk dalam media sosial, tetapi ada batas-batasnya,” katanya dalam sidang media mengenai iklan promosi judi bertemakan Aidilfitri, di sini hari ini.

Ketika ini satu iklan yang mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi tular di media sosial, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat menurunkan kandungan berkenaan dengan kerjasama penyedia platform seperti Facebook, Twitter, dan YouTube.

Saifuddin berkata iklan berkenaan yang mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga net turut menganggu ketenangan umat Islam dalam menunaikan ibadah berpuasa.

“Apabila berlaku penyebaran video iklan raya berunsur judi atau unsur-unsur lain yang bertentangan dengan maksud ibadah, tentulah terganggu ketenangan umat Islam. Orang bukan Islam pun tidak gemar perkara sebegini,” katanya.

Beliau seterusnya menasihati para pelakon agar lebih berhati-hati dalam memilih ‘tugasan’ mereka memandangkan siasatan polis berhubung iklan judi itu menyatakan rata-rata individu yang terlibat dalam produksi iklan berkenaan mendakwa mereka “tidak tahu apa-apa” mengenai iklan berkenaan.

Menurutnya, dunia seni budaya tidak kekeringan ‘tugasan’ untuk produksi seperti drama dan filem bagi para pelakon.

“Di bawah KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kini sudah memulakan banyak program dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) memaklumkan ada banyak produksi sedang berlangsung. Jangan sampai ada alasan tiada ‘job’,” katanya.

Saifuddin berkata KKMM menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan mengenai iklan berkenaan yang pertama kali dilaporkan di negara ini.

Sementara itu Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek yang turut hadir pada sidang media itu berkata setakat ini, 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara.

Katanya MCMC juga akan memberi kerjasama penuh dengan pihak polis dalam memastikan kandungan berkenaan tidak tular di platform media sosial serta memohon rakyat Malaysia agar tidak menularkan iklan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang turut hadir pula berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada krew produksi pengiklanan itu untuk mengeluarkan iklan itu.

Katanya sebarang pengiklanan harus mempunyai Sijil Akuan Iklan Buatan Malaysia (MIM) yang dikeluarkan Finas.

Mengenai jumlah produksi yang sedang melakukan penggambaran buat masa ini, Ahmad Idham berkata Finas telah mengeluarkan lebih 200 Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) kepada krew produksi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here