KUALA NERUS, 2 Mei — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memperkenalkan satu aplikasi untuk memudahkan urus niaga kelapa sawit, dan seterusnya mengelakkan berlaku sebarang aktiviti penipuan termasuk timbangan buah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata aplikasi tersebut dapat mengesan kelapa sawit daripada peringkat tanaman di ladang, urus niaga kepada pembeli berlesen sehingga ke peringkat akhir penggunaan kelapa sawit.

Beliau berkata aplikasi tersebut adalah seperti aplikasi telefon pintar RRIMniaga bagi urus niaga getah.

“Semua proses yang terlibat berkaitan kelapa sawit dari awal hingga ke peringkat akhir sedang diuruskan untuk dimasukkan ke dalam aplikasi ini. Percubaan bagi penggunaan aplikasi ini telah kita buat baru-baru ini di satu kawasan di Johor.

“Contohnya kita boleh kesan sekiranya buah (kelapa sawit) yang dijual itu adalah dicuri. Kalau ada sistem kita akan tahu buah itu dicuri kerana buah yang dicuri tidak akan ada dalam rekod,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Persatuan Pemilik Teksi Melayu Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di LTSM, di sini pada Ahad.

Selain itu, Mohd Khairuddin menegaskan pihaknya akan segera menggantung atau membatalkan lesen syarikat-syarikat pembeli kelapa sawit sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti penipuan timbangan buah.

“Kes penipuan (timbangan) ini adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi kuasa yang ada pada kita (KPPK) ialah kuasa pelesenan. Jadi kita boleh menyiasat dan mengambil tindakan membatalkan atau menggantung lesen mereka,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 dan barang keperluan harian kepada 60 ahli Persatuan Pemilik Teksi Melayu LTSM yang terjejas pendapatan sejak penularan pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here