ALOR SETAR, 5 Mei — Kerajaan negeri Kedah memberi peringatan terakhir kepada Pulau Pinang supaya tidak mencampuri urusan dalaman negeri ini terutama berhubung isu kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kedah adalah negeri berdaulat, mempunyai wilayah yang ditadbir Sultan dan kerajaan serta berpegang kepada Undang-undang Tubuh Negeri.

“Saya hendak nasihat Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), jangan suka-suka campur tangan dalam wilayah Kedah, Ulu Muda adalah tanah Kedah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan PBAPP yang mencadangkan penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk melindungi tadahan air di Empangan Muda, Pedu serta Ahning, yang antaranya menuntut supaya semua aktiviti pembalakan di Ulu Muda diharamkan.

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa sebagai reaksi kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang mahu menubuhkan Lembaga Lembangan Sungai Muda (LLSM), sebagai jalan untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Kedah dan Pulau Pinang ke atas Sungai Muda berhubung isu bekalan air. 

Muhammad Sanusi berkata cadangan KASA untuk menubuhkan LLSM adalah untuk mengawal selia Sungai Muda selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada kawasan antara Kampung Sungai Muda di Pantai Perai sehingga ke muara laut sahaja.

“Tapi LLUM hendak ambil kira sampai ke Ulu Muda, dalam kawasan Kedah… PBAPP kerap menyentuh tentang Ulu Muda, ini menunjukkan tanda Pulau Pinang bergantung sepenuhnya kepada sumber air mentah daripada Kedah, tapi dalam masa sama enggan bayar (caj air mentah) apabila kita buat tuntutan.

“Kalau hendak kita ambil kira isu air berasal daripada Kedah untuk kepentingan Pulau Pinang, sila buat bayaran seperti mana Syarikat Air Darul Aman (SADA) membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK),” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi memberitahu KASA sudah meluluskan pembinaan dua daripada 14 Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk menakung lebihan air di Sungai Muda, seperti yang diumumkan kerajaan negeri Kedah baru-baru ini.

“TAPS sedang berjalan, kita akan terus laksanakan (projek ini)… kalau lulus semua (14) sekali gus pun tidak sempat hendak buat, jadi eloklah lulus dua dulu,” katanya.

Projek yang mendapat peruntukan daripada KASA itu bertujuan meningkatkan bekalan air di Kedah dan menstabilkan paras air di sungai tersebut ketika musim kemarau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here