Kuala Lumpur 10 Mei — Persatuan Hotel Malaysia (MAH) merayu larangan makan di dalam premis ditarik balik, sambil berkata industri itu bersedia mengenakan SOP yang lebih ketat, termasuk mengehadkan waktu makan dan mengurangkan kapasiti.

Presidennya, N Subramaniam, berkata larangan makan dalam premis secara menyeluruh meletakkan pengusaha hotel dalam keadaan sukar kerana hanya beberapa hari saja diberikan untuk menyusun semula rancangan yang telah diatur sepanjang bulan itu.

Beliau berkata hotel-hotel bukan saja berdepan pembaziran bekalan yang mudah rosak tetapi juga lebihan tenaga kerja untuk tempoh itu.

Jelas Subramaniam, seperti yang semua tahu, kerajaan tidak menawarkan sokongan atau bantuan ketika mengumumkan perintah kawalan pergerakan ketiga, dan ini menyebabkan pengusaha hotel ‘sakit’ akibat pembatalan tempahan bilik sepanjang cuti Hari Raya.

“Memandangkan keadaan semasa yang menyekat semua aliran pendapatan, industri (perhotelan) bersedia menerapkan SOP yang lebih ketat,” katanya dalam kenyataan.

Ini termasuk perkhidmatan buffet yang disajikan, mengehadkan dua pelanggan di setiap meja dan juga ujian wajib untuk tetamu hotel dari negeri lain.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan pilihan ini sebelum mengenakan larangan sepenuhnya, bagi membolehkan industri untuk sekurang-kurangnya bertahan dengan sendirinya,” katanya.

Subramaniam berkata industri memahami perlunya sekatan pergerakan, namun masih ada ruang untuk memperbaiki keseimbangan antara kehidupan dan mata pencaharian.

Jelasnya hotel-hotel tersebut sudah terjejas teruk akibat sekatan perjalanan antara negeri yang dilanjutkan, sambil menambah industri kehilangan pendapatan minimum RM135 juta dalam sektor makanan dan minuman tahun lalu kerana berada di bawah PKP pada bulan puasa.

Kelantan, enam daerah di Selangor, dan Kuala Lumpur, sebahagian Johor, Terengganu, dan Perak diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here