KUCHING, 10 Mei — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memutuskan sambutan Aidilfitri di Sarawak hanya dibenarkan pada hari raya pertama dengan kehadiran keluarga terdekat sahaja.

Menurut kenyataan JPBN  hari ini, keputusan berkenaan dibuat setelah menilai situasi semasa COVID-19 di negeri itu yang  turut dipersetujui oleh Majlis Islam Sarawak.

Katanya, pindaan garis panduan (SOP) yang  terperinci boleh didapati di dalam laman rasmi Majlis Islam Sarawak di http://www.mis.sarawak.gov.my. 

Hari ini, Sarawak merekodkan  649 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 35,809 kes dengan dua kematian baharu akibat jangkitan itu dan jumlah terkini kematian adalah 209 orang.

Dalam kenyataan  sama, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan dua lagi kluster komuniti baharu iaitu kluster Ulu Anap di Tatau dan kluster Emperan di daerah Selangau.

Kluster Ulu Anap melibatkan sebuah rumah panjang di Ulu Sungai Anap di daerah Tatau, yang mana kes indeksnya adalah seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Nanga Tau pada 29 April dan disahkan positif COVID-19 pada 1 Mei.

Kluster Emperan pula membabitkan tiga buah rumah panjang di daerah  Selangau, dengan kes indeksnya melibatkan seorang wanita warga tempatan berumur 27 tahun yang juga dikesan melalui saringan individu bergejala.

Setakat ini, terdapat 78 kluster yang masih aktif di negeri ini dengan 17 kluster telah merekodkan 150 penambahan kes baharu dan 61 kluster lagi tidak merekodkan penambahan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here