KUALA LUMPUR, 11 Mei — Ekonomi Malaysia mencatatkan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih kecil sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021 berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku sebelumnya dengan pemulihan dilihat dalam semua sektor ekonomi.

Pada suku pertama 2020 ketika tercetusnya pandemik, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.7 peratus.

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam suku berkenaan, terutamanya sektor perkilangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media secara maya bagi mengumumkan prestasi KDNK Malaysia untuk suku pertama 2021 hari ini.

Sektor perkilangan meningkat dengan lebih kukuh pada 6.6 peratus pada suku pertama 2021 berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2020, sementara sektor perkhidmatan menyusut 2.3 peratus pada suku berkenaan, tetapi lebih baik berbanding penurunan 4.8 peratus pada suku keempat 2020.

Sektor pertanian meningkat sedikit kepada 0.4 peratus, sektor perlombongan dan kuari mengembang kepada negatif 5.0 peratus dan sektor pembinaan turun 0.4 peratus.

Walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) telah memasuki pusingan ketiga, Nor Shamsiah berkata pertumbuhan KDNK Malaysia mungkin kekal dalam julat  6.0 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.

“PKP 3.0 akan sama seperti PKP 2.0 dengan kebanyakan sektor ekonomi tetap dibuka,”katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya di sini hari ini.

Meskipun langkah-langkah pembendungan dilaksanakan semula baru-baru ini, kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk berbanding dengan tahun 2020 berikutan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“’Secara keseluruhan, pemulihan pertumbuhan dijangka memperoleh manfaat daripada permintaan global yang lebih baik, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat serta sokongan dasar yang berterusan. Hal ini juga mencerminkan pemulihan keadaan pasaran pekerja, terutamanya berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang meningkat secara beransur-ansur. 

Pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam sektor E&E dan subsektor berkaitan sumber, serta daripada loji pengeluaran minyak dan gas akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

Pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi. Bagaimanapun, kadar pemulihan dijangka tidak sekata merentas sektor ekonomi, jelas Gabenor.

Pada masa hadapan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang lebih kukuh.

“Meskipun prospek pertumbuhan akan terus bergantung pada perkembangan berhubung dengan pandemik, pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang bertujuan untuk mengawal aktiviti sosial dan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi akan mengurangkan impak terhadap kegiatan ekonomi,”’ katanya.

Akaun semasa imbangan pembayaran negara mencatatkan lebihan RM12.3 bilion atau 3.3 peratus daripada KDNK.

Bagi inflasi keseluruhan, ia menjadi positif  pada suku pertama 2021 dan dijangka mencatatkan secara purata 2.5-4.0 peratus tahun ini.

“Inflasi keseluruhan meningkat kepada 0.5 peratus pada suku pertama 2021, disebabkan oleh kesan asas daripada harga bahan api dan luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik,” katanya.

Beliau juga berkata inflasi keseluruhan mungkin meningkat antara  6.5 peratus hingga 7.0 peratus pada April-Mei sebelum menyederhana ke paras bawah 5.0 peratus pada bulan Jun sementara inflasi asas  dijangka kekal rendah, dengan purata antara 0.5 peratus hingga 1.5 peratus untuk tahun 2021 berikutan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

“Dasar monetari pada 2021 akan kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan tekanan terhadap harga dapat diuruskan dengan baik.

“Bank juga akan terus berwaspada terhadap peningkatan ketidakseimbangan kewangan dan berikutan ketidakpastian yang berterusan mengenai pandemik, dasar monetari dalam bergerak ke hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu,” tambah Gabenor BNM.

Bank pusat baru-baru ini pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetarinya telah mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here