PUTRAJAYA, 10 Mei — Pelayar asing yang Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dibenarkan untuk tinggal di Malaysia sehingga 31 Dis ini, namun mereka perlu mendapatkan pas berkenaan di pejabat Imigresen berdekatan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata permohonan mesti disertakan surat pengesahan dari kedutaan masing-masing serta surat sokongan dari pengusaha atau pemilik marina di mana mereka berlabuh.

Beliau berkata Jabatan Imigresen telah mengadakan satu perbincangan bersama pengusaha dan persatuan marina Malaysia secara persidangan video mengenai tindakan yang perlu diambil oleh pelayar asing bagi membolehkan mereka terus tinggal dan berlabuh di marina selepas 21 April.

“Dalam perkara ini, untuk membantu pelayar asing yang berada di perairan Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Imigresen membenarkan mereka untuk terus tinggal di Malaysia sehingga 31 Dis dengan mendapatkan PLS dari Pejabat Imigresen berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata setakat 10 Mei ini, kira-kira 138 pelayar asing yang dikesan oleh Jabatan Imigresen berlabuh secara sah di sekitar perairan Malaysia.

“Namun terdapat juga dalam kalangan pelayar asing ini yang berlabuh secara haram dan mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang oleh agensi berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, warga asing dengan PLS tamat tempoh, perlu meninggalkan negara ini sebelum atau pada 21 April dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Pada 21 April, Khairul Dzaimee memaklumkan warga asing dengan PLS tamat tempoh, perlu memohon Pas Khas bagi membolehkan mereka berada di negara ini, sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here