KUANTAN, 10 Mei — Rakyat Pahang sekali lagi diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambutan Aidilfitri berikutan mereka kini dilihat kurang peka dengan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang ingkar termasuk mengeluarkan kompaun berikutan kes jangkitan menunjukkan peningkatan di Pahang.

Beliau berkata ia perlu bagi memastikan penularan wabak itu dapat segera dikawal sebelum situasi menjadi lebih kritikal.

Katanya, SOP Aidilftri bagi negeri berkenaan akan diputuskan setelah pihaknya bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini adalah waktu yang sangat baik untuk kita memberi perhatian serius, sebelum ini kita sudah beri perhatian tetapi masyarakat masih tidak berapa cakna dengan wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Wan Rosdy membuat gimik penyerahan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di mana secara keseluruhan sebanyak 11,800 kotak makanan bernilai RM578,200 diagihkan kepada golongan memerlukan.

Menurutnya, bantuan bagi meringankan beban golongan itu disampaikan secara berperingkat ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di seluruh Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here