PUTRAJAYA, 20 Mei — Produktiviti buruh per pekerja Malaysia pada suku pertama tahun ini mengalami penurunan marginal 0.4 peratus berbanding negatif 2.9 yang dicatatkan pada suku keempat 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Mengulas laporan Produktiviti Buruh Suku Tahun Pertama 2021, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan marginal produktiviti buruh pada suku pertama 2021 itu merupakan kejatuhan paling kecil sejak produktiviti buruh negara mula menyusut pada suku pertama 2020.

Menurutnya, pada suku pertama 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 0.5 peratus manakala pekerja yang direkodkan ialah seramai 15.2 juta orang,  justeru nilai ditambah per pekerja pada suku pertama itu adalah sebanyak RM22,516 per pekerja.

“Pada suku ini, keadaan ekonomi masih dipengaruhi dengan usaha mengekang COVID-19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, Mohd Uzir berkata jumlah jam bekerja pada suku pertama 2021 merekodkan 8.5 bilion jam bekerja berbanding 8.6 bilion jam yang dicatatkan pada suku keempat 2020 (ST4 2020).

Produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja pada suku pertama 2021 adalah RM40.2 per jam berbanding RM40 per jam pada suku pertama 2020, katanya.

Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan mencatatkan peningkatan produktiviti buruh per pekerja bagi tempoh tiga suku tahun berturut-turut, iaitu ia meningkat 5.9 peratus pada suku pertama 2021 manakala pada ST4 2020 ialah  3.2 peratus.

Produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, beliau berkata sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 8.5 peratus berbanding enam peratus pada ST4 2020.

Empat subsektor pembuatan merekodkan pertumbuhan dua digit iaitu minuman & produk tembakau (22.8%), peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (12.9%), produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (12.8%) dan produk elektrik, elektronik & optikal (11.3%), katanya.

Sektor pembinaan mengalami penurunan terbesar bagi produktiviti buruh per jam bekerja dengan kadar negatif 8.6 peratus pada suku pertama 2021 berbanding negatif 6.7 peratus pada suku sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here