KOTA BHARU, 21 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan mengutip lebih RM3.65 juta untuk  Tabung Kemanusiaan Palestin fasa pertama dalam usaha membantu umat Islam  yang terkesan  akibat kekejaman rejim Zionis Israel.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kutipan diperoleh daripada tiga saluran iaitu Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah), badan bukan kerajaan (NGO) dan Badan Perhubungan PAS Kelantan.

“Badan Perhubungan PAS Kelantan mengutip lebih RM2.1 juta, manakala lebih RM1.3 juta adalah kutipan daripada Tabung Serambi Mekah. Biarpun Palestin sudah berhadapan dengan gencatan senjata pagi ini, namun sumbangan ini akan diberikan kepada rakyat Palestin yang tertindas akibat kekejaman Zionis.

“Sumbangan-sumbangan khas melalui Tabung Serambi Mekah ini adalah daripada kurniaan Kebawah Duli Yang Mulia Sultan Kelantan Sultan Muhammad V,  selain antaranya exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), rakyat dan anak Kelantan di perantauan serta masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Kompleks Darul Naim, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Program #Aid4Palestine Peringkat Negeri Kelantan Wan Roslan Wan Hamat.

Ahmad berkata hasil sumbangan akan disalurkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan akan disampaikan kepada umat Islam di Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here