KUALA LUMPUR, 26 Mei — Polis sedang menjalankan siasatan terhadap kes Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak memakai pelitup muka semasa sidang media di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata semua pihak yang terbabit dalam kes tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kegagalan mematuhi SOP membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa, katanya.

Klip video yang menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka pada sidang media itu tular menerusi media sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here