KUALA LUMPUR, 14 Jun — WCT Holdings Bhd dan syarikat-syarikat sekutunya telah memberi vaksin dos pertama jenis Sinovac kepada 2,400 kakitangan melalui Program Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah yang dilaksanakan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, WCT berkata program vaksinasi itu berlangsung di Pavilion Bukit Jalil Mall pada 12 dan 13 Jun, bermula dengan kakitangan tapak projek kejuruteraan dan pembinaannya.

Pengarah Urusan kumpulan Datuk Lee Tuck Fook berkata syarikat memulakan dengan pekerja daripada projek pembinaan di Kuala Lumpur divaksinasi bagi memastikan kesinambungan projek dalam persekitaran kerja yang lebih selamat dan membolehkan kakitangan bekerjasama dengan tenang dan aman.

“Kami mempunyai rancangan untuk memperhebatkan dan melanjutkan program vaksinasi kepada seberapa ramai pekerja kami yang mungkin dan akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Kementerian Wilayah Persekutuan telah menetapkan sasaran untuk mencapai imuniti berkelompok dengan memberi vaksin kepada lebih 80 peratus penduduk di Kuala Lumpur menjelang Oktober 2021, terutamanya di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi dan tapak pembinaan.

WCT terlibat terutamanya dalam aktiviti kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah, dan pelaburan hartanah dan pengurusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here