KUALA LUMPUR, 16 Jun — Bursa Malaysia Bhd akan memberi sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana dan menampung perbelanjaan berkaitan usaha pasukan petugas hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

Ahli lembaga dan pengurusan tertinggi Bursa Malaysia termasuk ketua bahagian dan jabatan akan secara sukarela menyumbang antara 10 hingga 20 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan bermula bulan Jun, 2021.

Bursa Malaysia juga berikrar untuk memadankan satu untuk satu daripada jumlah keseluruhan disumbangkan ke dalam dana tersebut untuk membantu usaha kutipan dana tersebut.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata Bursa Malaysia berada dalam kedudukan yang beruntung kerana dapat memberi sumbangan ketika negara berada dalam tempoh darurat.

“Penularan COVID-19, sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan telah menyebabkan ramai orang terkesan dan dengan sokongan kewangan yang tidak mencukupi dalam persekitaran memerangi pandemik itu.

“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kami berharap sumbangan kecil ini dapat berperanan dalam membantu usaha bantuan,” katanya.

Selain itu, ia berkata melalui Yayasan Bursa Malaysia, lebih daripada RM3.1 juta telah disumbangkan dan berikrar untuk membantu komuniti di kawasan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Usaha-usaha ini termasuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan, menyediakan makanan untuk masyarakat berpendapatan rendah serta menyokong program peningkatan dan latihan kemahiran untuk golongan B40 yang terkesan.

“Untuk membolehkan anak-anak sekolah melakukan pembelajaran di rumah, sumbangan telah dibuat untuk penyediaan peranti dan sambungan internet. Sumbangan juga telah diberikan untuk memberi bantuan dan makanan kepada haiwan yang terancam,” katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia juga secara proaktif telah melakukan pelbagai langkah bantuan COVID-19 dengan memberikan fleksibiliti dan bantuan yang diperlukan kepada penerbit tersenarai, peserta pasaran dan masyarakat sejak Mac, tahun 2020.

“Ini termasuk pelbagai tindakan pengawalan pasaran dan bantuan untuk meringankan syarikat perniagaan dan lain-lain peserta pasaran,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here