PASIR MAS, 15 Jun  –Tindakan segelintir pihak yang mendakwa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berisiko mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 tidak mempengaruhi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa di sini untuk tampil mendapatkan dos pertama hari ini.

Bagi Yusliza Yusoh, 49, yang mempunyai anak autisme iaitu Siti Nor Aisyah Zulkifli, 18, dakwaan seperti itu tidak perlu diendahkan kerana yakin kerajaan sentiasa cuba memberikan perlindungan kesihatan yang terbaik untuk rakyat khususnya golongan OKU dan warga emas.

“Saya enggan terpengaruh dengan dakwaan seperti itu kerana saya sendiri telah melihat golongan warga emas seperti nenek saya, Mek Embong Seman, 97, tidak mengalami sebarang gejala selepas melengkapkan dua dos pada Mei lepas.

“Ini meyakinkan saya untuk membawa Siti Nor Aishah bagi mendapatkan suntikan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Syakirin hari ini,” kata ibu lima anak itu yang turut memuji kecekapan petugas kesihatan mengendalikan golongan OKU untuk pemberian vaksin.

Azilawati Salleh, 44, dari Kampung Bawah Lembah, turut menyuarakan nada yang sama dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengutamakan golongan OKU dalam pemberian vaksin selain petugas barisan hadapan serta warga emas.

Beliau membawa anaknya Muhammad Afiq Khairan Azemi, 20, yang berstatus OKU cacat fizikal sejak lahir, bersyukur kerana urusan pemberian vaksin di PDK itu berjalan lancar dan mereka tidak perlu menunggu lama.

“Walaupun anak saya tidak ke mana-mana, sekurang-kurangnya suntikan itu dapat melindungi anak saya daripada wabak berkenaan kerana dia merupakan golongan berisiko,” katanya.

Ketua Jajahan Pasir Mas Hazmi Abdul Hamid, ketika ditemui, berkata selain OKU, program vaksinasi hari ini turut melibatkan penjaga dan tenaga pengajar golongan itu.

“Kita sasarkan seramai 200 penerima di empat PDK iaitu di PDK Kasturi, PDK Suria Mas, PDK Nurilham dan PDK Syakirin yang akan menerima vaksin ini dalam tempoh dua hari bermula hari ini.

“Keutamaan diberikan kepada golongan ini untuk divaksin kerana mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan dan cenderung mengalami komplikasi teruk sekiranya dijangkiti disebabkan oleh limitasi keupayaan yang mereka alami,” katanya.

Hazmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Immunisasi COVID-19 (CITF) Jajahan Pasir Mas, berkata hampir 25,000 penduduk di jajahan itu telah menerima suntikan vaksin dengan purata pemberian vaksin 1,500 penduduk sehari setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here