KUALA LUMPUR, 16 Jun  — Kerajaan disaran menyalurkan bantuan tunai dalam bentuk kredit e-dompet secara bulanan untuk kumpulan sasaran bagi merancakkan ekonomi negara sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara, kata pakar ekonomi. 

Profesor Madya Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata langkah bersifat strategi serampang dua mata itu juga dapat membantu rakyat sekali gus memacu ekonomi peniaga tempatan. 

“Jika kerajaan dapat salurkan bantuan sebanyak RM100 hingga RM200 setiap bulan berbanding (pemberian) secara ‘one-off’ (bayaran sekali) sebelum ini kepada golongan B40 dan M40 yang pendapatan mereka terjejas, ini dapat membantu merancakkan ekonomi setempat apabila digunakan untuk membeli barang keperluan atau makanan. 

“Namun bantuan kewangan itu perlulah khusus untuk pembelian barangan perlu dan makanan sahaja dan boleh disalurkan melalui penggunaan e-dompet,” katanya menerusi rancangan Ruang Bicara di Bernama TV, semalam.

Menurut Anuar, berdasarkan Pelan Pemulihan Negara : Peralihan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, tempoh kritikal bagi sektor ekonomi negara adalah menjelang peralihan antara fasa kedua ke fasa ketiga yang dijadualkan pada Ogos depan.

“Tempoh peralihan ini akan menjadi titik tolak kelangsungan sektor ekonomi serta kemampuan peniaga kecil dan sederhana untuk kekal bertahan dalam keadaan pengurangan pendapatan akibat PKP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu memastikan pelaksanaan atau proses pemberian vaksinasi untuk rakyat Malaysia dapat dijalankan dengan lancar menjelang peralihan PKP fasa kedua ke fasa ketiga tersebut.

Ini, katanya, termasuk memastikan sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk sudah mendapat vaksinasi tersebut bagi membolehkan sektor ekonomi kembali rancak dengan pembukaan perniagaan secara fizikal. 

“Kita boleh mengambil contoh di Amerika Syarikat, Jepun dan China yang mana sektor ekonomi mereka kembali pulih apabila lebih 40 peratus populasi masing-masing telah mendapat vaksinasi itu,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here