PUTRAJAYA, 15 Jun — Langkawi yang dipilih sebagai destinasi pelancongan rintis untuk ‘Program COVID-19 Free Destination’, menerima ‘suntikan’ apabila syarikat penerbangan terkemuka Qatar Airways, berminat untuk membuka semula penerbangan terus dari Qatar ke pulau peranginan itu.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, perkara itu merupakan antara inisiatif dan cadangan Qatar Airways dalam menghadapi pandemik COVID-19 seperti dinyatakan Pengurus Negara Qatar Airways Datuk Muzammil Mohamad kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, dalam perbincangan mereka secara dalam talian hari ini.

Perbincangan dalam talian itu turut disertai Duta Besar Qatar ke Malaysia Fahad Mohd Y Kafoud dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat, yang menyentuh mengenai cabaran industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, serta potensi pelaksanaan ‘gelembung perjalanan’ antara Malaysia dan Qatar, apabila sempadan negara dibuka untuk aktiviti pelancongan.

Nancy dalam kenyataan yang dikeluarkan MOTAC itu berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama erat dengan Qatar, dan berharap projek itu dapat memulihkan semula industri pelancongan terutama di Langkawi, setelah semua penduduk pulau itu mencapai tahap imuniti kelompok, dan sempadan negara dibuka semula.

“Langkawi merupakan antara destinasi pelancongan rintis yang dipilih, memandangkan pulau tersebut turut menjadi pintu masuk penerbangan antarabangsa termasuk Qatar Airways,” kata Nancy.

Nancy berkata, MOTAC sedang berusaha ke arah untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi rintis untuk Program COVID-19 Free Destination, dengan menyasarkan 80 peratus penduduk pulau tersebut mencapai tahap imuniti kelompok.

“Ia juga sebagai persediaan awal untuk menyemarakkan industri pelancongan, yang juga akan dilaksanakan secara berperingkat di lokasi-lokasi yang lain,” katanya.

MOTAC dilaporkan sebelum ini telah memohon untuk mempercepat proses vaksinasi pekerja sektor dan subsektor industri pelancongan di Langkawi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here