PETALING JAYA, 16 Jun — Sebanyak 240,991 Orang Kurang Upaya (OKU) telah mendaftar untuk vaksinasi COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera, dengan 10,229 orang telah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama sehingga hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah pendaftaran tersebut masih terlalu rendah berbanding 600,000 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Kita akan terus menjalankan usaha agar jumlah ini meningkat supaya golongan OKU ini tidak ketinggalan untuk mendapat vaksin,” katanya ketika meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu yang dikhaskan untuk OKU dan penjaga mereka di Sime Darby Plantation Berhad di sini hari ini.

PPV pandu lalu untuk  OKU itu adalah PPV pertama seumpamanya di negara ini dan di Asia Tenggara, adalah kerjasama kementerian dengan OKU Sentral dan Sime Darby Plantation. 

PPV tersebut menyasarkan untuk memvaksinasi 16,000 OKU dan penjaga mereka dalam program yang dijadualkan sehingga Oktober depan. 

Turut hadir Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.  

Sementara itu, Rina berkata kementeriannya mengalu-alukan kerjasama dengan lebih banyak syarikat korporat untuk mewujudkan PPV sedemikian bagi memudahkan golongan OKU menerima vaksin mereka. 

Katanya, terdapat permintaan supaya PPV itu dibuka di negeri-negeri lain dan kementerian akan berbincang dengan syarikat korporat yang berminat bagi tujuan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here