NIBONG TEBAL, 16 Jun — Individu dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang boleh menarik nafas lega apabila program imunisasi COVID-19 untuk petugas barisan hadapan ekonomi diterajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disokong oleh Micron Malaysia, bermula hari ini.

Naib Presiden dan Pengurus Negara Micron Malaysia Amarjit Singh Sandhu berkata Kluster Vaksinasi Taman Perindustrian Batu Kawan di sini, menyokong Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dilancarkan MITI.

“Kami menghubungi MITI berhubung inisiatif ini dan mereka memilih kami untuk menerajui pelaksanaan rintis di wilayah utara Malaysia. Terdapat keseluruhan 21 syarikat yang menjalin kerjasama di bawah model ini.

“Ini adalah bukti keutamaan sektor pembuatan dalam memastikan keselamatan anggota pasukannya. Kita semua mempunyai matlamat yang sama untuk memastikan semua orang divaksinasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Untuk lima hari pertama, Micron Malaysia, sebuah entiti di bawah Micron Technology Inc yang disenaraikan di Nasdaq, akan mengatur 2,200 pekerjanya untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Amarjit berkata sebaik semua petugas mereka termasuk pengawal keselamatan, pekerja pembersihan, pengendali kantin serta kontraktor mendapat vaksinasi, syarikat berikutnya di bawah Kluster Vaksinasi Taman Perindustrian Batu Kawan, akan memberikan suntikan kepada petugas mereka.

Beliau berkata wujud cabaran sebelum pusat itu beroperasi, bagaimanapun, mereka berupaya mengatasi masalah itu hasil kerjasama daripada semua pihak berkepentingan.

“Mengendalikan vaksin dan mengatur individu untuk mendapat suntikan adalah antara cabaran yang kami hadapi tetapi kami berjaya melaluinya dengan pihak berkepentingan masing-masing.

“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana memulakan program ini dan semua pekerja kami rasa istimewa kerana menjadi sebahagian daripada inisiatif ini yang memberikan rasa selamat apabila kami datang bekerja,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here