KUALA LUMPUR, 16 Jun — Northport (Malaysia) Bhd mencatatkan pengendalian kargo konvensional tertinggi sebanyak 1.07 juta tan berat muatan (FWT) pada Mei lepas, melepasi rekod pengendalian bulanan sebelum ini iaitu 968,356 FWT pada Ogos 2013.

Syarikat di bawah Kumpulan MMC itu berkata bagi tempoh lima bulan pertama 2021, ia mengendalikan kargo konvensional berjumlah 4.1 juta FWT, pertumbuhan 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Penyumbang paling ketara bagi pengendalian ini adalah minyak sawit, bijirin dan besi serta produk keluli yang mencatatkan lonjakan pertumbuhan masing-masing sebanyak 80 peratus, 61 peratus dan 29 peratus berbanding tahun sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, operasi Hab Logistik Biomass di terminal Northport yang lain, Southpoint, mencatatkan jumlah pengendalian sebanyak 169,281 tan sejak Januari tahun ini, meningkat 91 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020. 

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata pencapaian itu adalah manifestasi keupayaan Northport untuk mengharungi cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan pelbagai sektor ekonomi dan industri di peringkat global serta domestik.

“Ini adalah hasil daripada transformasi dalam operasi kargo konvensional kami, yang mana kami telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi di kedua-dua terminal kami, Northport dan Southpoint,” katanya. 

Ini termasuk pengoptimuman ruang dan kemudahan penyimpanan, rasionalisasi peralatan, rundingan semula kontrak dengan vendor, penambahbaikan proses melalui automasi dan pendigitalan sistem, perlombongan data dan analisis serta menggalakkan transformasi melalui pembangunan bakat disamping peningkatan kecekapan kakitangan.

Tambahnya, untuk maju ke hadapan, syarikat akan memusatkan operasi kontenanya dalam satu terminal dan mewujudkan ruang kepada perniagaan kargo konvensional untuk berkembang di terminal lain. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here