KUALA LUMPUR, 16 Jun — Susulan nasib malang menimpa dua jaguh pecut negara, semua pihak termasuk persatuan sukan yang bertanggungjawab terhadap persediaan, kesihatan dan keselamatan atlet disaran untuk sentiasa peka dan meneliti setiap urusan melibatkan atlet masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau turut mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk sentiasa memastikan pemantauan berterusan dilakukan terhadap program latihan atlet negara setiap masa.

“Pematuhan terhadap SOP (prosedur operasi standard) hendaklah sentiasa diberi perhatian dan keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasrat dua jaguh pecut Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi untuk menyertai Kejohanan Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pertengahan bulan ini, tidak kesampaian selepas ‘disekat’ untuk berlepas ke sana dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lepas.

Kedua-dua atlet itu tidak dibenarkan berlepas ke negara tersebut selepas Muhammad Haiqal disahkan positif COVID-19 setibanya di KLIA sementara Khairul Hafiz menjadi kontak rapat walaupun keputusan ujian calitannya negatif virus berkenaan.

“Meskipun perkara ini telah merencatkan peluang kepada kedua-dua jaguh lumba lari yang masing-masing memegang rekod emas Sukan SEA 2017 dan edisi 2019 untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking World Athletics; keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan mereka jauh lebih penting,” kata Reezal Merican.

Sementara itu, Reezal Merican mendoakan baki lapan atlet olahraga negara yang berada di Kazakhstan berjaya melakar kejayaan bermakna buat negara.

Lapan atlet tersebut ialah Lee Hup Wei (lompat tinggi), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Jonathan Nyepa (100m) Rayzam Shah Wan Sofian (110 meter berpagar), Muhammad Ilham Suhaimi (400m), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here