KOTA KINABALU, 2 Julai — Seorang suri rumah berusia 26 tahun dikesan menjadi punca satu lagi kluster baharu di Sabah hari ini iaitu Kluster Tanjung Pitas, melibatkan penularan dalam komuniti nelayan di mukim Mapan-Mapan di daerah Pitas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster berkenaan mencatat 43 kes kumulatif dan dikesan selepas kes indeks dari Kampung Naruntung itu, disahkan positif COVID-19 pada 27 Jun lalu.

“Berdasarkan siasatan, terdapat dua kemungkinan yang menjadi punca jangkitan iaitu pergerakan penduduk kampung ke Pulau Banggi, Kudat sepanjang bulan Mei serta Jun, dan pergerakan peraih ikan di Kampung Naruntung yang menjual ikan di kawasan Pitas dan Kota Marudu,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, berikutan kes itu Pejabat Kesihatan daerah Pitas telah mengesan 20 lagi kes positif, hasil saringan kontak yang dijalankan. 

Beliau berkata, jumlah itu termasuk tiga kes positif daripada makmal Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Pitas, hasil saringan kontak serumah pada 28 Jun dan salah seorang adalah suami kepada kes indeks, yang bekerja sebagai nelayan dan menjual ikan di Kampung Taritipan Kota Marudu.

Katanya turut dikesan ialah satu kes hasil saringan komuniti di Kampung Naruntung pada 29 Jun dan 16 kes positif dalam kalangan penduduk kampung itu pada 30 Jun.

Dalam pada itu, 230 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 69,907.

Lima lagi kes kematian akibat pandemik COVID-19 direkodkan hari ini, iaitu dua di Lahad Datu dan masing-masing satu di Kunak, Sandakan dan Kudat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here