KUALA LUMPUR, 30 Julai  — Pengiktirafan dan sokongan sekutu antarabangsa yang diterima negara dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 membuktikan kekuatan Malaysia, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata penghormatan kepada Malaysia dan kekuatan negara dalam hubungan dua hala serta pelbagai hala masih berada di landasan yang amat kukuh.

“Jika kita adalah sebuah negara yang gagal dan jika apa yang telah kita rancangkan tidak masuk akal, saya rasa kita tidak akan diberikan pengiktirafan serta penghormatan yang kita terima sejak beberapa bulan lepas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hishammuddin berkata demikian selepas majlis penyerahan bekalan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief) bagi membantu Malaysia memerangi pandemik COVID-19 yang berlangsung di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Hishammuddin berkata Malaysia telah menerima sumbangan pelbagai jenis vaksin COVID-19 termasuk sejuta dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Amerika Syarikat, sejuta dos vaksin AstraZeneca dari Jepun dan 500,000 dos vaksin Sinovac dari China.

“Saya boleh umumkan hari ini bahawa vaksin dari United Kingdom akan tiba pada Selasa iaitu sebanyak 415,000 dos (jenis AstraZeneca),” katanya.

Beliau berkata Arab Saudi akan turut menyumbang sejuta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca dan penghantarannya akan dibincangkan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan KSRelief.

“Matlamat kita ialah untuk mendapatkan vaksin itu secepat mungkin daripada pembekal. Arab Saudi telah cukup bermurah hati menyumbangkan vaksin itu tetapi kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pembekal vaksin mana yang akan dihantar kepada kita secepat mungkin,” katanya.

Bekalan perubatan yang diserahkan oleh Kerajaan Arab Saudi hari ini termasuk 100 unit ventilator, 150 unit ventilator mudah alih, 319 unit pemekat oksigen, 30 unit alat bantuan pernafasan dan 150 katil perubatan elektrik. 

Barangan lain ialah seperti tiga juta keping pelitup muka perubatan, sejuta keping pelitup muka N95, setengah juta sarung tangan perubatan, 180 unit oksimeter nadi, 50 unit pam infusi intravena, 50 unit pam solusi intravena, tujuh defibrilator dan 10,000 helai gaun perlindungan. 

Sumbangan Arab Saudi dianggarkan bernilai hampir US$5 juta (RM21.14 juta).

Hishammuddin turut memberi jaminan bahawa peralatan perubatan sumbangan Arab Saudi itu akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya di Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih Malaysia yang tidak terhingga kepada Arab Saudi kerana berusaha memastikan sumbangan itu tiba ke negara ini hanya beberapa hari selepas Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman Abdulaziz Al Saud menitahkan KSRelief agar menghulurkan bantuan segera kepada Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here