Home Berita Lain PPV UUM sasar pemberian vaksin sebanyak 2,500 dos sehari

PPV UUM sasar pemberian vaksin sebanyak 2,500 dos sehari

SINTOK, 7 Ogos — Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘Outreach’ Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) mensasarkan pemberian vaksin COVID-19 sebanyak 2,500 dos sehari bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk terutamanya di daerah Kubang Pasu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata PPV itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beroperasi pada hari ini dan pada 13 dan 14 Ogos ini serta tiga hari lain bagi dos kedua.

“Bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-10 Kebangsaan (PICK), PPV yang beroperasi di Dewan Mu’adzam Shah (di UUM) ini akan beroperasi pada tarikh yang telah ditetapkan yang mana mampu menampung kapasiti seramai 2,500 penerima vaksin sehari.

“UUM turut menghantar petugas kesihatan dari Pusat Kesihatan Universiti, Jabatan Keselamatan Universiti dan sukarelawan yang terdiri dari staf dan pelajar UUM bagi melancarkan operasi pemberian vaksin berkenaan bersama petugas kesihatan KKM,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pembukaan PPV Outreach UUM di sini, hari ini.

Beliau yakin dengan jumlah 70 petugas klinikal KKM selain petugas UUM dan sukarelawan, PPV itu mampu melaksanakan pemberian vaksin untuk tempoh tiga hari berkenaan pada bulan ini dan Oktober depan.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkat selain penglibatan staf dan sukarelawan, UUM turut menyediakan fasiliti selesa seperti kemudahan komputer riba dan WiFi bagi memudahkan urusan pendaftaran dan sebagainya .

“Kita akan lihat, kalau ada lagi keperluan yang diperlukan UUM sedia membantu bagi memastikan misi imuniti kelompok tercapai,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimatun Saadiah Saad.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Exit mobile version