KOTA KINABALU, 20 Sept  — Semua pejabat kerajaan negeri Sabah dibenar beroperasi pada kapasiti 80 peratus petugas bekerja di pejabat berkuat kuasa esok, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Bagaimanapun, beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata 20 peratus petugas pula dikehendaki bekerja dari rumah.

“Semua kakitangan yang hadir ke pejabat, dan semua pelanggan serta pengunjung pejabat kerajaan terlibat hendaklah telah lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengenai sukan golf Masidi berkata kerajaan negeri memberi kebenaran dua pemain golf berkongsi sebuah buggy dengan syarat terdapat pemisah antara dua pemain tersebut yang juga berkuat kuasa esok.

“Semua pemain hendaklah juga telah lengkap divaksin dan mempunyai status risiko rendah pada aplikasi MySejahtera,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Sabah hari ini merekodkan 1,255 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif 186,832 kes dengan 19 kes kematian dilaporkan, manakala 2,129 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif 162,543 sembuh, dan 3,959 pesakit masih dirawat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here