IPOH, 22 Sept — Sebanyak 984 orang remaja menerima suntikan penuh dos vaksin COVID-19 manakala 9,682 orang telah mendapat suntikan dos pertama di Perak menerusi program vaksinasi bagi kumpulan berkenaan setakat Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata jumlah itu meliputi keseluruhan 237,200 golongan berkenaan untuk program vaksinasi  membabitkan mereka berumur 12 hingga 17 tahun.

“Sebanyak 41 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk vaksinasi remaja melibatkan sekolah, Kolej Vokasional (KV) dan PPV awam disediakan untuk golongan terbabit.

“Ia melibatkan sukarelawan sebanyak 392 orang guru, 193 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dan 108 orang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Mohd Akmal berkata pihaknya juga menjalankan kaedah pelaksanaan program vaksinasi remaja melalui beberapa pendekatan bagi menjayakan program berkenaan.

“Remaja dengan komorbid akan mendapat kaedah temujanji melalui Pre-Vaccination Assassment melalui Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV).  Manakala, remaja 16 hingga 17 tahun yang bersekolah melalui kaedah Portal Vaksin-Anakku dan MySejahtera dan lokasinya di PPV awam atau sekolah. 

“Bagi remaja tidak bersekolah pula akan melalui kaedah walk-in dan lokasi di PPV Awam atau Outreach,” katanya.

Perak mula memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan tertentu (komorbid) sejak 13 Sept manakala remaja 16 hingga 17 tahun tiada komorbid bermula pada Isnin lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi dengan menyasarkan pembabitan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here