KUALA LUMPUR, 21 Sept  — Semua kementerian yang berkaitan diminta meneliti kembali prosedur operasi standard (SOP) yang perlu bagi memastikan kelancaran pembukaan pelbagai sektor ekonomi tanpa ada kekangan, dalam menuju fasa endemik COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri yang terlibat telah dimaklumkan mengenai perkara itu beberapa hari lepas.

Beliau berkata ini kerana Malaysia perlu mencari jalan untuk menyeragamkan peraturan mengenai SOP, dan beliau memberi contoh amalan sekarang yang membenarkan perjalanan ke Langkawi tanpa permit polis jika menggunakan penerbangan, dan wajib mendapatkan permit polis jika menggunakan pengangkutan darat.

“Kita kena melihat segalanya dengan perspektif yang sama, kerana tujuan kita adalah untuk melihat proses pemulihan tercapai dalam satu jangka masa yang tidak terlalu lama,” katanya ketika ditemu bual dalam Program Agenda Awani terbitan Astro Awani malam ini. 

Sementara itu Muhyiddin berkata beliau berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan agenda pemulihan negara daripada COVID-19, termasuk dalam soal pemulihan ekonomi, dan memastikan kesejahteraan rakyat. 

“Yang ini harus diberi perhatian oleh kerajaan dan di pihak saya, saya akan bantu laksanakan… asalkan tidak ada gangguan-gangguan politik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau seterusnya menyifatkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini dapat meredakan krisis politik negara dan membantu mengembalikan fokus kepada usaha memulihkan negara.

Sementara itu merujuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan minggu depan, Muhyiddin berkata ia perlu perlu mengambil kira bentuk-bentuk sokongan daripada sudut kerajaan dan swasta supaya sektor ekonomi dan sosial akan terus dapat dibuka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here