SHAH ALAM, 22 Sept — Hospital Selayang dan Hospital Serdang dijangka tidak lagi menjadi hospital COVID-19 pada akhir bulan hadapan susulan trend penurunan jangkitan wabak tersebut di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata bagaimanapun Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang masih kekal sebagai hospital COVID-19.

Beliau memaklumkan sejak pertengahan bulan ini, Hospital Selayang dan Hospital Serdang telah dihibridkan yang kedua-dua hospital itu bukan lagi menjadi hospital COVID-19 sepenuhnya.

“Kami mahu dua hospital ini kembali kepada sediakala iaitu katil untuk pesakit COVID-19 sudah banyak yang kosong (yang wajar diberi untuk merawat pesakit lain),” katanya pada sidang media hari ini. 

Beliau berkata negeri itu telah mencatatkan penurunan kes jangkitan wabak itu termasuk kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta turut mencatatkan penurunan kadar positiviti iaitu sebanyak tujuh peratus pada minggu ke-37  berbanding yang tertinggi iaitu 22. 3 peratus pada minggu ke-30.

“Kita berada di landasan yang betul, walaupun jumlah saringan adalah berkurang berbanding dahulu tetapi kadar peratus yang positif juga berkurang dengan kadar kebolehjangkitan kini bawah peringkat nasional iaitu 0.85,” katanya.

Selain itu Dr Siti Mariah berkata kadar kesembuhan juga meningkat kepada 97.1 peratus dengan setakat ini, kes aktif adalah sebanyak 10,656 orang yang kebanyakannya dikesan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Klang disebabkan faktor kepadatan penduduk.

Katanya perkembangan positif itu berikutan kerjasama semua pihak dalam mematuhi prosedur operasi standard serta kadar vaksinasi yang tinggi juga berjaya menurunkan jumlah kes jangkitan di negeri itu. 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya sentiasa berwaspada walaupun kes jangkitan di Selangor kini menurun.

“Pada masa ini kami turut membantu negeri lain dan kakitangan kami akan sentiasa siap siaga sekiranya ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata ketika gelombang COVID-19 melanda negeri itu, aktiviti di klinik kesihatan telah dihadkan kepada 25 peratus dan hospital 50 peratus dan kini perkhidmatan tersebut akan dipertingkatkan semula.

“Namun jika berlaku semula peningkatan kes (COVID-19), kami akan kembali semula kepada keadaan sebelum ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here