SEREMBAN, 22 Sept — Kerajaan Negeri Sembilan sedang berusaha memujuk 64 orang penjawat awam di negeri ini yang dikenal pasti belum bersedia untuk menerima vaksin COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pihaknya berusaha memberi kesedaran kepada kumpulan itu dengan menggunakan pendekatan memanggil bekas pesakit COVID-19 bagi menceritakan pengalaman mereka sepanjang tempoh rawatan serta situasi di hospital dan kesan selepas dijangkiti wabak itu. 

“Bilangan tersebut hanyalah mewakili peratusan kecil iaitu 0.014 peratus daripada keseluruhan penjawat awam (7,224 orang) yang berkhidmat di bawah kerajaan negeri ini.

“Mereka ini memang tegar tidak mahu vaksin, tetapi kita telah berusaha dengan meminta ketua jabatan untuk memanggil dan memujuk mereka supaya menerima vaksin ini,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.

Dalam pada itu, katanya semua masjid dan surau Jumaat di negeri ini dibenarkan mendirikan solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mulai Jumaat ini. 

Sementara itu Aminuddin berasa kesal terhadap sikap segelintir rakyat yang tidak menjaga kebersihan pantai sejak merentas daerah dibenarkan, iaitu selepas Negeri Sembilan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 4 Sept lepas. 

Beliau berharap penduduk mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan dan mengikut SOP, memandangkan wabak COVID-19 masih belum berakhir.

“Kasihanlah dengan petugas SWM Environment Sdn Bhd yang mengutip sampah sarap, mereka bertugas seawal 6 pagi bagi memastikan kebersihan pantai dan kebanyakan mereka berusia 60 tahun ke atas, pukul 6 petang masih lagi membersihkan kawasan pantai.  

“Jadi, bawa pulang sekali sampah dengan membungkus dalam plastik dan dibuang di rumah masing-masing, kita tahu kadang-kadang tong sampah yang disediakan tidak muat kerana terlalu ramai pengunjung datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here