KUALA LUMPUR, 23 Sept — Institusi-institusi kewangan pembangunan (IKP) telah melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana Bank Negara Malaysia terutamanya kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dengan jumlah keseluruhan RM8.1 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata IKP seperti Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agro Bank dan SME Bank akan terus berperanan menyokong kelangsungan usahawan mikro PKS dengan memudahcara pinjaman melalui pelbagai pakej pinjaman mudah. 

“Malah, baru-baru ini, kementerian juga menyarankan IKP supaya merangka penyelesaian yang lebih praktikal dengan penggunaan kriteria yang kurang membebankan agar perniagaan mereka dapat kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai peranan IKP serta penyaluran bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk membantu usahawan mikro PKS, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, IKP juga perlu mengutamakan strategi pelaburan untuk perniagaan mikro PKS yang terlibat dalam inovasi dan peringkat awal serta mereka yang sedang beralih kepada operasi digital.

Beliau berkata, bagi inisiatif GKP 4.0, lebih sejuta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP sebelum ini serta penerima baharu bantuan GKP telah mula menerima RM500 pada 21 Sept bagi bayaran fasa satu, manakala RM500 lagi akan diserahkan pada November ini untuk bayaran fasa dua.

Menurutnya jumlah keseluruhan pembayaran GKP 4.0 ini melibatkan implikasi kewangan RM1 bilion, dengan bayaran akan dikreditkan terus kepada akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

Mengenai pemberian GKP di Selangor, Tengku Zafrul berkata hampir 196,000 usahawan mikro di negeri itu telah menerima manfaat daripadanya dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan, lebih sejuta usahawan mikro dapat memanfaatkan RM6.08 bilion melalui empat siri GKP sejak COVID-19 melanda negara.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here