SHAH ALAM, 22 Sept  — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan meneliti nama-nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang tidak mahu divaksin dan menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di Selangor menghadiri sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

“Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

“Titah baginda apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” menurut kenyataan itu.

Sultan Selangor bertitah pelbagai inisiatif dan cara dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama demi kesejahteraan dan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here