KUALA LUMPUR, 22 Sept — Takaful IKHLAS (Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad) hari ini melancarkan kempen #IKHLASKongsi bagi membantu golongan yang terkesan dari segi ekonomi dan sosial akibat penularan wabak COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Eddy Azly Abidin berkata menerusi kempen itu Takaful IKHLAS akan memanfaatkan dana patuh syariah iaitu IKHLAS Barakah House bagi menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat melalui aktiviti melibatkan aspek kesihatan, pendidikan, komuniti, ekonomi dan juga alam sekitar.

“Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ merupakan inspirasi Takaful IKHLAS dalam menjayakan kempen #IKHLASKongsi.

“Selain daripada membantu meringankan beban para penerima, kami berharap agar sumbangan melalui kempen #IKHLASKongsi ini dapat memberikan keceriaan, memupuk nilai prihatin serta kasih sayang dalam kalangan komuniti sekitar masjid dan surau yang terpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai permulaan, Takaful IKHLAS yang merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad (MNRB), telah bekerjasama dengan enam masjid dan surau di sekitar Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur bagi mengagihkan sumbangan wang tunai dan bekalan asas makanan berjumlah RM50,000 kepada 200 keluarga.

Selain itu, Eddy Azly berkata melalui kempen itu juga, Takaful IKHLAS telah memilih Hospital Ampang di Selangor sebagai penerima dana IKHLAS Waqf and Endowment (IWE) bagi 2021.

“Sumbangan kepada Hospital Ampang adalah hasil daripada dana inisiatif kemasyarakatan IWE, dengan Takaful IKHLAS memperuntukkan RM1,000 atas nama peserta untuk sumbangan wakaf atau pembiayaan kepada institusi yang diiktiraf dan dipilih oleh pihak syarikat,” katanya.

Bagi inisiatif itu, peruntukan hampir RM26,000 daripada dana IWE telah diwakafkan untuk sebuah mesin elektrokardiogram (Mesin ECG 12 Saluran), 40 tilam dan 110 bantal bagi kegunaan pesakit di Hospital Ampang.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada kempen #IKHLASKongsi boleh turut serta melalui manfaat tambahan pelan takaful keluarga iaitu IKHLAS Rider dan juga melalui pelan perlindungan takaful am yang menyediakan manfaat IWE secara percuma kepada peserta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here