KUALA LUMPUR, 24 Sept  — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di ibu kota London hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 11 pagi (waktu tempatan) disambut barisan kepimpinan Battersea Project Holding Company dan wakil kepimpinan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Sime Darby Property dan SP Setia Berhad. Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar.

Projek hartanah berkeluasan 16.99 hektar itu merupakan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, KWSP dan PNB sejak 2012.

Dalam lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka berdua berkenan menerima persembahan taklimat mengenai perkembangan terkini projek hartanah berkenaan yang membabitkan nilai pembangunan kasar berjumlah 9 billion pound.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa berangkat meninjau fasa perumahan yang telah siap dibina dan turut berkenan mendedahkan plak peringatan bagi memperingati lawatan Baginda berdua ke projek hartanah ini,” menurut Istana Negara menerusi kenyataan di laman Facebook.

Lawatan itu adalah antara atur cara sempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke United Kingdom (UK) selama 10 hari bermula 17 Sept.

Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford serta pertemuan antara Seri Paduka berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

“Yang di-Pertuan Agong turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst. Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula pada 9 Dis 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here