PUTRAJAYA, 24 Sept  — Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji pelbagai kaedah untuk menyelesaikan isu rawatan tertunggak di fasiliti kementerian termasuk memperluas penyumberluaran perkhidmatan perubatan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ia turut meliputi perbincangan dengan Hospital Angkatan Tentera Malaysia dan Hospital Pengajar Universiti berkaitan mengenai perkara yang boleh dibantu.

Beliau berkata KKM telah memulakan penyumberluaran perkhidmatan perubatan (pesakit bukan COVID-19) kepada pihak hospital swasta sejak 2020 bagi menangani isu rawatan tertunggak.

 “Walaupun penyumberluaran telah dimulakan semenjak 2020, jumlah kes tertunggak masih tinggi memandangkan terdapat limitasi seperti kekurangan kepakaran di fasiliti swasta serta kekurangan hospital swasta di beberapa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini, bagi mengulas jumlah kes tunggakan bukan COVID-19 di fasiliti KKM.

Data sehingga 1 Sept menunjukkan sejumlah 57,355 kes tertunggak direkodkan bagi kes pembedahan dan prosedur perubatan.

“Sebanyak 93.8 peratus atau 53,785 adalah kes-kes tunggakan kes pembedahan yang meliputi pembedahan am, urologi, pembedahan paediatrik, pembedahan plastik dan rekonstruktif, pembedahan kardiotorasik, ginekologi, ortopedik dan oftalmologi.

“Daripada jumlah tersebut, 97.4 peratus atau 52,373 merupakan kes tunggakan pembedahan bukan kanser manakala 2.6 peratus atau 1,412 melibatkan kes kanser,” katanya.

Sementara itu, 6.2 peratus atau 3,570 (daripada keseluruhan 57,355 kes tunggakan) adalah tunggakan untuk prosedur perubatan meliputi angiogram dan radioterapi serta rawatan lain.

Daripada angka 3,570 berkenaan, Khairy berkata 2,964 (83 peratus) merupakan kes tunggakan bukan kanser, 15 peratus atau 534 melibatkan kes kanser, dan dua peratus atau 72 kes untuk prosedur transplan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here