KOTA BHARU, 24 Sept  — Lebih banyak pusat penjagaan warga emas diperlukan di negara ini bagi menghadapi status negara tua pada 2030, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sehubungan itu beliau menggalakkan badan korporat dan swasta untuk turut sama mewujudkan pusat berkenaan yang boleh menyediakan perkhidmatan jagaan harian atau transit kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya pusat itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan jagaan, malah boleh berperanan melahirkan warga emas yang sihat, aktif dan cergas.

“Malaysia akan menjadi negara tua pada 2030, yang menyaksikan 15 peratus rakyat berusia 60 tahun ke atas… tidak sampai 10 tahun lagi, oleh itu kerajaan mahu menggembleng tenaga bersama swasta mewujudkan lebih banyak pusat jagaan warga emas yang turut menyediakan kemudahan bukan sahaja penjagaan, malah fisioterapi dan kaunseling,” katanya. 

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau pusat jagaan warga emas Shalis Centre, di sini hari ini beliau berkata ketika ini kerajaan ada menyediakan perkhidmatan yang sama iaitu Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), dan penyertaan pihak swasta dalam mewujudkan pusat yang seumpama itu amat digalakkan.

“Kita dah ada PAWE namun dalam menghadapi negara tua, ada juga anak-anak yang mampu menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan berbayar. Setiap pusat jagaan memiliki sasaran tertentu seperti keluarga miskin, daif atau mereka yang berkemampuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here