JOHOR BAHRU, 25 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju melibatkan Johor dalam jawatankuasa khas yang membincangkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pendirian itu dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri selepas mendengar sesi taklimat pembangunan negeri yang berlangsung kira-kira sejam setengah.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju agar Johor terlibat secara langsung kerana kita bukan hanya melihat kepada isu pembukaan sempadan.

“Itu perkara yang akan kita lakukan dan juga perkara yang sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan Perdana Menteri dengan Badan Perhubungan UMNO Johor hari ini.

Beliau berkata selain itu, isu yang memerlukan penglibatan Johor dan sedang berjalan termasuk usaha mengenal pasti warga negeri tersebut yang masih bekerja di Singapura serta telah mendapat vaksin dan pemandu kenderaan komersial yang terpaksa berpatah balik selepas ujian RTK antigen mereka positif.

Hasni berkata turut dibentang pada taklimat itu ialah prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan oleh Johor bagi pembukaan sempadan.

Antaranya penerimaan sijil digital vaksinasi, bentuk saringan COVID-19 yang diperlukan ketika kemasukan dan ulang-alik sama ada 48 atau 72 jam sebelum perjalanan  yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Cuma isunya ialah kes yang masih terus meningkat di Singapura menyebabkan kita perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Singapura bagi membincangkan SOP yang kita kemukakan,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri yang mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri itu, menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi.

Selepas itu, beliau menghadiri taklimat pembangunan negeri sebelum meluangkan masa kira-kira dua jam bertemu pemimpin UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here