KUCHING, 25 Sept — Hanya lima daripada 2,712 kes positif COVID-19 di Sarawak hari ini melibatkan kes dengan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan baki 2,707 kes lagi sama ada tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, yang menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 196,146.

Selain itu, sebanyak 10 kes kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan, iaitu lapan kes dicatatkan antara 17 hingga 23 Sept, manakala dua kes lagi direkodkan pada 24 Sept (semalam), sekali gus menjadikan angka kematian keseluruhan meningkat kepada 749 orang.

Menurut jawatankuasa itu, terdapat satu kluster komuniti diisytihar hari ini iaitu Kluster Julin Dabai yang melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di Sungai Dabai, Marudi.

“Daripada 84 individu yang disaring, seramai 70 orang didapati positif termasuk kes indeks manakala 14 individu didapati negatif setakat ini,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here