KUALA LUMPUR, 25 Sept — Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan kerjasama  pelbagai agensi adalah komponen penting dalam menjayakan usaha kawalan dan pencegahan wabak polio di negara ini.

Justeru beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelbagai pihak yang turut sama berganding bahu menyumbang tenaga dan sumber sehingga usaha kawalan serta pencegahan wabak polio di negara ini berjaya dilaksanakan, dengan kerajaan negeri adalah agensi utama yang telah bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri dalam usaha perancangan tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio. 

Khairy berkata turut terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri, agensi media, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat termasuk wakil rakyat yang turut sama menjalankan aktiviti promosi.

Katanya mereka juga berusaha menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan bahaya penyakit polio, kaedah kawalan dan pencegahan serta pentingnya imunisasi polio dalam menghentikan penularan virus polio.

“Pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, pengusaha bot, pihak pengurusan kawasan perumahan, pusat beli belah juga terlibat dalam urusan penyediaan lokasi dan logistik pemberian imunisasi polio. Selain itu Kementerian Pendidikan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pihak sekolah dan guru-guru turut sama membantu dalam gerak kerja kempen imunisasi polio,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura dalam perutusan rasminya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 10 Sept mengisytiharkan penamatan wabak polio di Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Khairy turut menzahirkan penghargaan kepada NGO yang terlibat secara aktif di lapangan, selain anggota kesihatan swasta yang menyumbang tenaga di dalam kempen imunisasi polio, pendidikan kesihatan dan pengesanan kes. 

Penghargaan juga dizahirkan kepada sukarelawan komuniti yang bertindak sebagai ejen kesihatan memberi penerangan berkaitan penyakit polio dan kempen imunisasi polio dari rumah ke rumah, serta mengedarkan pelbagai bahan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Ini termasuklah Unit Pemaju Pembangunan Masyarakat (UPPM), Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN).

“Tidak lupa juga penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang telah membenarkan anak atau anak jagaan mereka untuk diberikan vaksin, sehingga penularan virus polio berjaya dihentikan. Terima kasih sekali lagi kepada semua anggota kesihatan dan perubatan KKM di seluruh negara, termasuk kakitangan makmal yang telah bertugas dengan penuh komitmen,” katanya. 

Khairy berharap kerjasama dan kolaborasi yang dilaksanakan ini dapat diteruskan, bukan sahaja dalam usaha memastikan Malaysia kekal bebas polio secara khususnya, bahkan dalam usaha pencegahan penyakit secara amnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here