JOHOR BAHRU, 25 Sept — Tindakan kerajaan mendapatkan maklum balas daripada China berhubung pembentukan pakatan strategik keselamatan baharu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AUKUS) adalah sekadar mendapatkan pandangan. 

Menafikan dakwaan pembangkang mengenai tindakan itu bersifat “menerima arahan”, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tidak menjadi kesalahan bagi Malaysia untuk mendapatkan pandangan daripada sebuah kuasa besar dan kemungkinan tindak balas China berhubung pakatan strategik itu. 

“Saya tengok bahawa kenyataan itu (dakwaan pembangkang) tidak berasas kerana apa yang telah saya maklumkan kepada Dewan Rakyat jauh sekali untuk mendapat arahan daripada negara China,” kata beliau kepada pemberita di Kem Ulu Tiram di sini hari ini. 

Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan pembangkang baru-baru ini yang mahu Malaysia dilihat sebagai berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar terutama berhubung isu AUKUS. 

Ahli Parlimen Sembrong itu menjelaskan hubungan Malaysia dengan negara berkenaan tidak bermakna negara akan berkompromi dari segi kedaulatan dan kedudukannya. 

“Kelebihan kita baik dengan dua pihak kalau ada pihak nak melaga-lagakan kita… kita konsisten dari dulu lagi. 

“Kekuatan yang ada kepada Malaysia (adalah) kita mendekati kedua-dua kuasa besar ini dan hubungan kita (berdasarkan) saling menghormati antara AS dan China dan menghormati pendirian kita,” kata beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here