KUCHING, 26 Okt — Sarawak mengalu-alukan kerjasama antarabangsa bagi membangunkan kapasiti penyelidikannya dalam perladangan hutan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Malaysia, khususnya Sarawak, masih ketinggalan berbanding negara-negara Asia lain dalam pembangunan ladang hutan yang mendorong negeri itu menceburi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), sebagai antara usaha untuk merapatkan jurang tersebut.

“Ketiadaan bahan penanaman berkualiti tinggi dan serangan haiwan perosak dan penyakit (di Sarawak) perlu ditangani secara menyeluruh bagi memastikan objektif-objektif utama pembangunan perladangan hutan tercapai,” katanya ketika merasmikan Webinar Acacia Kesatuan Antarabangsa Pertubuhan Penyelidikan Perhutanan (Iufro) 2021, di sini hari ini. 

Beliau berkata antara agenda utama dalam pembangunan industri perladangan hutan adalah menguji spesies dan sistem alternatif, ketahanan terhadap haiwan perosak dan penyakit, kitaran jangka pendek dan jangka panjang untuk kualiti kayu dan produk kayu berbeza serta pemulihan tanah terdegradasi.

“R&D juga diperlukan untuk memberi nilai tambah pada perladangan kayu. Kerajaan Sarawak berhasrat untuk meneroka pemprosesan kayu hiliran peringkat ketiga untuk tujuan eksport, terutama pengeluaran perabot secara besar-besaran dan produk nilai tambah kayu yang lain.

“Kayu daripada hutan yang ditanam akan menjadi pengganti utama kepada bahan mentah masa depan dalam industri pemprosesan kayu-kayan,” katanya.

Justeru, Abang Johari menggesa sektor pembuatan produk kayu supaya memajukan diri dan melabur semula untuk menyesuaikan peralatan dan teknik pemprosesan dengan perubahan kualiti dan spesies balak.

Beliau berkata penyelidikan perlu terus dilaksanakan untuk mencari jalan bagi menambah baik pengurusan serta kaedah mengukur pertukaran dan menilaiantara komponen yang berlainan kemampanan.

Selain itu, Abang Johari berkata pensijilan ladang hutan sangat penting bagi memastikan industri ladang hutan yang lestari.

“Pensijilan adalah kaedah untuk memastikan amalan pengurusan perladangan yang baik, seterusnya membawa kepada pengeluaran yang efisien dan membantu meningkatkan keyakinan pasaran pada produk kayu-kayan daripada ladang yang diurus dengan baik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here