AMMAN (Jordan), 19 Jan — Aspek kerjasama dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang antara Jordan dan Malaysia dilihat sebagai intipati utama dalam mengukuhkan hubungan dua hala.

Perkara itu dinyatakan ketika pertemuan antara Presiden Persatuan Persahabatan Parlimen Jordan bagi Asia dan Ocenia Dr Abdul Rahim Ma’aya dan Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Kamarudin Jaffar, yang kini dalam rangka lawatan ke negara itu, lapor Agensi Berita Jordan (PETRA).

Pertemuan itu berlangsung di bangunan Dewan Perwakilan Jordan pada Selasa, dan dihadiri Duta Besar Malaysia ke Amman, Datuk Jilid Kuminding.

Menurut PETRA, Ma’aya berkata lawatan pemimpin Malaysia itu amat bermakna dalam mengukuhkan kerjasama di pelbagai bidang – Parlimen, kebudayaan, pendidikan, komersial, ekonomi dan pelancongan.

Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan perkongsian pengalaman dalam bidang pertanian, pengangkutan, pelancongan dan industri farmaseutikal demi memanfaatkan peluang yang ada di kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Kamaruddin memuji hubungan sejarah yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara di pelbagai peringkat, dan berkata Malaysia berminat untuk membangunkan hubungan bersama dengan Jordan di pelbagai peringkat.

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat lebih dari 1,100 pelajar lelaki dan perempuan Malaysia sedang menimba ilmu di universiti-universiti Jordan.

Kamaruddin juga menyatakan kesediaannya untuk menyampaikan semua pandangan dan idea-idea dari pihak Parlimen Jordan kepada kerajaan Malaysia dan juga usaha-usaha yang menyumbang ke arah kepentingan bersama.

Beliau melahirkan penghargaan negara atas usaha berterusan Jordan, di bawah kepimpinan Raja Jordan Raja Abdullah II, menjaga keselamatan dan kestabilan di rantau itu, sambil menegaskan bahawa terdapat persamaan antara kedua-dua negara dalam pandangan dan pendirian.

Mengenai pendirian Kuala Lumpur dalam isu Palestin, Datuk Kamarudin menekankan kepada pihak Jordan bahawa ia menjadi keutamaan dan kepentingan Malaysia di forum antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here