KUALA LUMPUR, 19 Jan — Orang ramai digalakkan memainkan peranan sebagai pemberi maklumat dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa berkaitan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), sebuah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), memaklumkan inisiatif itu boleh bertindak sebagai penghalang untuk mencegah sebarang penipuan.

Susulan beberapa laporan media mengenai penjualan sijil vaksinasi palsu, ProtectHealth menegaskan ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengamal perubatan swasta (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penjagaan kesihatan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan dasar yang ditetapkan KKM dan pihaknya.

“Dalam memastikan PPS di bawah ProtectHealth memberi perkhidmatan berkualiti dan mematuhi SOP ditetapkan KKM dan ProtectHealth, audit rawak ke atas PPS dan NGO penjagaan kesihatan dilakukan secara berkala.

“Jika terdapat sebarang ketidakpatuhan, ProtectHealth akan mengambil tindakan sewajarnya dan mungkin menggantung PPS dan NGO penjagaan kesihatan terbabit daripada melaksanakan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, pasukan audit perubatan ProtectHealth akan menjalankan siasatan atas permintaan sekiranya menerima sebarang aduan atau apabila terdapat anomali data yang dipantau ProtectHealth.

Menurut kenyataan itu, vaksin hanya diberikan kepada PPS dan NGO penjagaan kesihatan melalui mekanisme terkawal oleh pusat simpanan vaksin (PSV) berdasarkan setiap kiraan janji temu yang dikeluarkan oleh MySejahtera atau senarai data yang disediakan.

ProtectHealth menjelaskan nombor siri vaksin direkodkan bagi setiap pemberian vaksin, selain identiti kedua-dua pemberi dan penerima vaksin.

“ProtectHealth tidak akan bertolak ansur sekiranya timbul sebarang salah laku dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa jika wujud insiden berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua PPS di bawah ProtectHealth berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan kemudahan penjagaan kesihatan mereka dilesenkan di bawah KKM sebagai memenuhi prasyarat untuk menyertai PICK serta untuk memastikan PPS tersebut termaktub dalam undang-undang berkaitan, katanya.

PPS dan NGO penjagaan kesihatan itu juga dikehendaki menghadiri latihan wajib sebelum dibenarkan untuk memberi vaksin dan mereka sentiasa menerima garis panduan terbaharu daripada ProtectHealth dan KKM, menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here