KUALA LUMPUR, 20 Jan — Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat negeri dan daerah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 22 Dis lepas supaya struktur NADMA diteliti semula untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pengurusan bencana negara.

“Perkara ini sedang dalam tindakan NADMA bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Antara perkara yang diteliti adalah pewujudan NADMA di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Abd Latiff berkata demikian ketika membentangkan mengenai pengurusan bencana banjir penghujung tahun 2021 dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menyentuh mengenai hala tuju pengurusan bencana, Abd Latiff berkata NADMA turut mengambil inisiatif untuk memperkasakan pengurusan pengurangan risiko bencana (DRR) melalui penggubalan Dasar DRR termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana.

“Meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana daripada aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan langkah kesiapsiagaan nasional.

“Selain itu, NADMA juga dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Pengurusan Bencana yang bersifat omnibus antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula,” katanya.

Beliau juga berkata NADMA akan memperkasakan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) agar seiring perkembangan teknologi semasa.

Katanya ia mengambil kira keperluan dan kepentingan pengurusan maklumat yang dinamik, tepat dan cepat bagi membantu perancangan, pelaksanaan operasi, pemberian bantuan, pemulihan awal dan pembangunan semula.

“Antara perkara yang akan diberi fokus adalah memastikan data-data bencana daripada pelbagai agensi adalah terseragam, terkini dan mempunyai ciri-ciri peramalan kesan serta penderiaan permintaan bagi membantu di dalam membuat keputusan,” katanya.

Sebelum mengakhiri pembentangannya, Abd Latiff juga mengalu-alukan cadangan Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas berkenaan bagi menambah baik agensi dan bersedia dalam memastikan NADMA dapat menguruskan bencana negara dengan lebih cekap dan berkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here