KUALA LUMPUR, 19 Jan  — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan tersebut.

“Bukti juga menunjukkan bahawa Azam mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut,” katanya.

SC dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa berkata SC telah menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan berdasarkan keterangan yang dikumpul ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA. 

Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC berkata bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).  

Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media tersebut sebagai menjawab pertanyaan media yang diterima pada hari ini mengenai hasil siasatan SC di bawah seksyen 25(4) SICDA berhubung akaun dagangan Tan Sri Azam Baki (dirujuk sebagai “siasatan tersebut”).

“Sehubungan dengan ini, siasatan tersebut adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA.

“Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here